Dari Meja Pengarah | Dari Meja Pengarah |
|
‘1 MALAYSIA : RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN’ DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W beserta keluarga dan sahabat baginda. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera Warga IPG KPT yang dihormati, Pengetahuan merupakan komponen penting dalam era globalisasi kerana pengetahuan bukan sahaja dapat menambah gedung ilmu, malah pengetahuan juga berupaya untuk menggerakkan sesebuah organisasi. Pengetahuan adalah maklumat yang relevan dan boleh bertindak mengikut keperluan tertentu. Pengetahuan diumpamakan seperti otot yang tumbuh apabila digunakan (Newby et al. 2006). Sifat dinamik pengetahuan memerlukan pengetahuan diuruskan dengan baik. Salah satu cara melalui perkongsian pengetahuan. Konsep perkongsian pengetahuan sejajar dengan agenda utama negara, iaitu membentuk masyarakat berpengetahuan (k-masyarakat) yang membantu pertumbuhan ekonomi negara. Maka, peranan kita sebagai pendidik berpengetahuan (k-pendidik) adalah penting untuk melahirkan pekerja berpengetahuan (k-pekerja) yang kompeten. Aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi atau Information Technology and Communication (ICT) dapat melancarkan perkongsian pengetahuan dalam kalangan pengguna internet kerana ICT berperanan sebagai agen pemudahcara (enabler). Melalui laman web, proses pengemaskinian, penstoran maklumat, pencapaian maklumat, muat naik (upload) serta muat turun (download) bahan dalam pelbagai format multimedia dapat dilakukan dengan mudah. Laman web merupakan platform saluran informasi dan komunikasi yang efektif serta melibatkan kos yang murah jika dibandingkan dengan menggunakan media cetak. Namun kerapkali kemudahan ICT tersasar daripada matlamat asalnya iaitu sebagai medium untuk berkolaborasi secara ilmiah tanpa mengira had masa serta lokasi. Sebaliknya ICT digunakan sebagai medan untuk pelbagai aktiviti negatif seperti propaganda palsu. Justeru, warga pendidik perlu berhemah sebagai golongan k-pendidik yang menjadi penggerak, bukannya sebagai pendalang; serta berusaha gigih untuk menggarap sebarang perubahan dinamik dalam pelbagai bidang, khususnya bidang pendidikan. Sehubungan dengan ini, pengorbanan daripada setiap warga pendidik IPG KPT dituntut dalam dua perkara iaitu membudayakan perkongsian pengetahuan dan ‘masa’ untuk berkarya di alam siber. Dalam konteks budaya, warga pendidik perlu menerapkan budaya perkongsian pengetahuan dalam kehidupan seharian. Komitmen daripada setiap warga pendidik diperlukan untuk menyiarkan berita mengenai aktiviti setiap jabatan dan unit di IPG KPT. Ini bermakna, semangat kerja sepasukan (team work) dalam kalangan warga pendidik merupakan penentu bagi kejayaan perkongsian pengetahuan di laman web. Di samping itu, faktor masa sentiasa dijadikan kekangan untuk mengamalkan perkongsian pengetahuan terutamanya dalam kesibukan warga pendidik menjalankan tugas rutin di IPG KPT. Justeru, pengorbanan warga pendidik dituntut untuk memperuntukkan masa bagi menjayakan konsep perkongsian maklumat. Semoga dengan adanya laman web IPG KPT, warga pendidik mendapat kesedaran tentang pentingnya perkongsian pengetahuan serta mengamalkan gaya penulisan berintegriti, sebagaimana yang dituntut oleh agama serta etika profesional perguruan. Segala yang baik adalah dari Allah S.W.T. Wabillahi taufiq walhidayah. Assalamualaikum wr. wb.
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA Saya yang menurut perintah,
|
| Berita IPGM KPT |
| Sistem Pergerakan Pensyarah |
| Galeri |
| Webmail IPG KPT |