|
Institut Perguruan Teknik (IPTeknik) ditubuhkan pada 17 Mei 1962 dengan nama asalnya Maktab Perguruan Teknik (MPT). Bangunan asal MPT terletak di Jalan Damansara, Kuala Lumpur, yang merupakan bekas tapak Malay Girls’ College (sekarang Kolej Tunku Kurshiah di Seremban). Pada peringkat awal operasinya, MPT mendapat bantuan dalam berbagai-bagai bidang dari kerajaan Canada, termasuk kepakaran, tenaga pengajar, latihan, malah alat kelengkapan seperti jentera berat dan perkakas pertukangan. Peranan MPT menjadi bertambah penting apabila empat mata pelajaran baru diperkenalkan di peringkat sekolah menengah rendah, iaitu Seni Perusahaan, Sains Pertanian, Perdagangan dan Sains Rumah Tangga dalam Sistem Pelajaran Aneka Jurusan mulai tahun 1965. Kampus baru MPT yang berdiri megah di Jalan Tenteram, Bandar Tun Razak sekarang dibina dalam tahun itu di atas sebuah tapak seluas 22.3 hektar. MPT mula mengendalikan Kursus Pertukangan pada awal tahun 1970, apabila jabatan berkenaan di Maktab Perguruan Pertukangan di Kuantan dipindahkan ke sini. Pada tahun 1972 kursus Pengajian Perdagangan pula dimulakan apabila Jabatan Pengajian Perdagangan Maktab Perguruan Ilmu Khas dipindahkan ke maktab ini dalam usaha menggabungkan jurusan teknik dan vokasional. MPT juga telah mengendalikan latihan perguruan dalam tiga komponen kursus Kemahiran Hidup: Ekonomi Rumah Tangga, Kemahiran Manipulatif Tambahan dan Pertanian sejak 1989 sehingga kursus-kursus tersebut dipindahkan ke Maktab Perguruan Batu Pahat dalam tahun 1992. Pada tahun 2003, mata pelajaran utama di MPT ialah Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Jentera, Teknologi Kejuruteraan, Lukisan Kejuruteraan, Sains Komputer, Multimedia & Animasi, ERT, Perakaunan, Matematik dan Sains. Mulai tahun 2006, MPT dinaiktarafkan dengan kemampuan menganugerakan Ijazah Perguruan kepada para pelajarnya. Ianya mula dikenali sebagai Institut Perguruan Teknik. |